Friday, July 4, 2008

Bab Awal Turun Wahyu

0003
Dari Aisyah r.a, katanya: "Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah saw, ialah berupa mimpi baik waktu beliau tidur. Biasanya mimpi itu terlihat jelas oleh beliau, seperti jelasnya cuaca pagi. Semenjak itu hati baginda tertarik hendak mengasingkan diri ke Gua Hira (kira-kira 4 km dari Mekah). Disitu baginda beribadah beberapa malam, tidak pulang kerumah isterinya. Untuk itu baginda membawa bekalan secukupnya. Setelah bekalan habis, baginda kembali kepada Khadijah, untuk mengambil lagi perbekalan secukupnya.Kemudian baginda kembali pula ke Gua Hira hingga suatu ketika datang kepadanya Al-Haq (kebenaran atau wahyu), iaitu sewaktu baginda masih berada di Gua Hira itu".

Malaikat datang kepadanya, lalu katanya, "Bacalah!". Jawab Nabi, "Aku tidak pandai membaca."

Nabi selanjutnya menceritakan, "Aku ditarik dan dipeluknya sehingga aku kepayahan.

Kemudian aku dilepaskannya dan disuruhnya pula membaca.'
"Bacalah!" katanya. Jawabku, "Aku tidak pandai membaca". Aku ditarik dan dipeluknya sehingga aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya dan disuruhnya membaca. "Bacalah!" katanya.

Ku jawab, "Aku tidak pandai membaca". Aku ditarik dan dipeluknya untuk ketiga kali, kemudian dilepaskannya seraya berkata:
" Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah demi Tuhanmu Yang Maha Mulia" - Surah A-Alaq 1-3.


Setelah itu Nabi pulang kerumah Khadijah binti Khuwailid, lalu berkata, "Selimuti aku! Selimuti aku! " Lantas diselimuti oleh Khadijah, hingga hilang rasa takutnya.

Kata Nabi saw kepada Khadijah setelah dikhabarkan semua kejadian yang baru dialaminya itu, "Sesungguhnya aku cemas atas diriku (akan binasa)". Kata Khadijah, "Jangan takut! Demi Allah! Tuhan sekali-kali tidak akan membinasakan anda. Anda selalu menghubungkan tali persaudaraan, membantu orang yang sengsara, mengusahakan barang keperluan yang belum ada, memuliakan tamu, menolong orang yang kesusahan kerana menegakkan kebenaran".

Setelah itu Khadijah pergi bersama Nabi menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, iaitu anak bapa saudara Khadijah, yang telah memeluk agama Nasrani pada masa jahiliyah itu. Ia pandai menulis buku dalam bahasa Ibrani (Hebrew). Maka disalinnya kitab Injil dari bahasa Ibrani seberapa dikehendaki Allah dapat disalinnya. Usianya telah lanjut dan matanya telah buta.

Kata Khadijah kepada Waraqah, "Hai , anak pak cikku ! Dengarkanlah khabar dari anak saudaramu (Muhammad) ini".

Kata Waraqah kepada Nabi, "Wahai anak sudaraku ! Apakah yang telah terjadi atas dirimu?."
Lalu Rasulullah menceritakan kepadanya semua peristiwa yang telah dialaminya.

Berkata Waraqah, "Inilah Namus (malaikat) yang pernah diutus Allah kepada Nabi Musa. Wahai, semoga saya masih hidup ketika itu, iaitu ketika anda diusir oleh kaum anda."
Maka bertanya Rasulullah saw, "Apakah mereka akan megusirku?"


Jawab Waraqah, "Ya, betul ! Belum pernah seorang juapun yang diberi wahyu seperti anda, yang tidak dimusuhi orang. Apabila saya masih mendapati hari itu, nescaya saya akan menolong Anda sekuat-kuatnya"
Tidak berapa lama kemudian, Waraqah meninggal dunia dan wahyu pun terputus untuk sementara waktu.


Kata Ibnu Syihab, Abu Salamah bin Abdurrahman mengkhabarkan kepadanya, bahawa Jabir bin Abdullah Al-Anshari menceritakan tentang terputusnya wahyu, katanya Nabi saw berkata dalam hadisnya: "Pada suatu waktu sedang aku berjalan-jalan, tiba-tiba kedengaran olehku suatu suara dari langit. Maka kuangkat pandanganku kearah datangnya suara itu. Kelihatan olehku malaikat yang pernah datang kepadaku di Gua Hira dahulu. Dia duduk di kursyi antara langit dan bumi. Aku terperanjat kerananya dan terus pulang. Aku berkata kepada Khadijah, "Selimuti Aku!". Lalu Allah menurunkan ayat:

"Hai orang yang berselimut! Bangunlah! Mqka berilah peringatan! Dan besarkanlah Tuhanmu! Dan bersihkanlah pakaianmu! Dan jauhi berhala! " Al-Muddatstsir 1-5

Maka semenjak itu wahyu selalu turun berturut-turut.

WaAllahuaklam

________________________________________________________________
0002
Dari Aisyah, Ummul Mu'minin r.a, katanya Harits bin Hisyam r.a pernah bertanya kepada Rasulullah saw: "Bagaimanakah caranya wahyu turun kepada anda?"
Jawab Rasulullah saw, "Kadang-kadang wahyu itu datang kepadaku (kedengaran) seperti bunyi lonceng. Itulah yang sangat berat bagi ku. Setelah bunyi itu berhenti, lantas aku mengerti apa yang dikatakannya. Kadang-kadang malaikat menjelma seperti seorang lelaki datang kepadaku. Dia berbicara kepadaku dan aku mengerti apa yang dikatakannya".

Kata Aisyah r.a, "Aku pernah melihat Nabi, ketika wahyu turun kepada beliau pada suatu hari yang amat dingin. Setelah wahyu itu berhenti turun, kelihatan dahi Nabi bersimbah peluh".
WaAllahuaklam

____________________________________________________________________
0001.
Dari Umar bin Khaththab r.a, katanya dia mendengar Rasulullah saw bersabda: "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hirjahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah".

Segala suatu tindakan kita pasti berkadar terus dengan niat. Dan ganjarannya juga mengikut niat kita. Jadi pertamanya kita kena sentiasa bertanya pada diri kita untuk apa kita buat sesuatu perbuatan itu? Dengan demikian kita akan sentiasa mengingati Allah.

WaAllahuaklam

No comments: